
MADU merupakan ubat yang telah digunakan sejak beberapa abad
yang lalu untuk merawat pelbagai penyakit. Antaranya ulser, pengelupasan,
jangkitan mata, tekak, penyembuhan luka, batuk dan berbagai-bagai lagi.
Ia merupakan cairan manis yang berasal daripada nektar
tanaman yang diproses oleh lebah pekerja menjadi madu dan tersimpan dalam
sel-sel sarang lebah. Di Malaysia, lebah yang paling banyak diternak untuk
menghasilkan madu ialah lebah tempatan (Apis cerana), lebah hutan (Apis
dorsata) dan lebah Eropah (Apis Mellifera).
Manusia memanfaatkan madu sebagai makanan serta ubat.
Pemeliharaan lebah untuk diambil madunya telah dilakukan oleh manusia sejak
sekian lama. Ilmu tentang lebah dan pemeliharaannya dikenal sebagai apiary.
Usaha penternakan lebah juga disebut dengan nama tersebut.
Beberapa jenis lebah memiliki sengat yang sebetulnya
bersifat fatal bagi dirinya. Sengat ini dimanfaatkan oleh manusia dalam
pengubatan serupa akupunktur yang dinamakan terapi lebah (apitherapy).
Dalam satu kelompok lebah atau disebut sebagai koloni,
mempunyai tiga kasta iaitu lebah ratu, lebah betina (ia juga dikenali sebagai
lebah pekerja) dan lebah jantan. Setiap kasta lebah mempunyai peranan atau
tugas masing-masing.
Lebah ratu hanya seekor dalam setiap koloni dan mengawal
semua kegiatan lebah betina dan lebah jantan. Komposisi kromosomnya diploid
sehingga dapat menghasilkan keturunan. Badannya lebih besar kerana sejak masih
dalam bentuk larva, ia diberi makan royal jelly yang kaya dengan khasiat. Tugas
utamanya ialah berkahwin dan bertelur. Lebah ratu yang aktif mampu bertelur
kira-kira 2,000 butir telur sehari. Jangka hayat lebah ratu ialah tiga tahun.
Lebah betina atau lebah pekerja mengumpulkan serbuk sari dan
nektar. Madu merupakan produk hasil pengolahan makanan ini dalam tubuhnya dan
disimpan dalam sarangnya sebagai makanan, termasuk untuk larva dan pupa. Ada
juga lebah betina yang bertugas membersihkan sarang dan menjaga anak-anak lebah.
Jangka hayat lebah pekerja ialah tiga bulan atau lebih
sedikit. Lebah betina terbentuk tanpa melalui perkahwinan (partenogenesis) dan
mandul (sterile) kerana hanya memiliki satu set kromosom (haploid).
Lebah jantan pula bertugas mengahwini lebah ratu dan akan
mati setelah berkahwin. Lebah jantan merupakan lebah hasil perkahwinan
(sehingga diploid) yang diberi makanan nektar dan madu biasa (bukan royal
jelly). Terdapat juga lebah yang hidup menyendiri, tidak dalam kelompok. Lebah
jenis ini disebut lebah soliter.
Allah s.w.t. berfirman mengenai tabiat lebah, maksudnya:
“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, ‘Hendaklah engkau membuat sarangmu di
gunung-ganang, pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan
oleh manusia. Kemudian makanlah daripada segala jenis buah-buahan (dan
bunga-bungaan), serta turutlah peraturan Tuhanmu yang diilhamkan kepadamu.”
Kemudian Allah s.w.t. menyebut mengenai sejenis minuman yang
keluar dari perut lebah:
“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang berlainan
warnanya yang mengandungi ubat penyembuh bagi manusia. Sesungguhnya pada yang
demikian itu, ada tanda (rahmat Allah) bagi orang yang mahu berfikir.” (Surah
al-Nahl 16: 68-69)
Kajian yang dilakukan oleh U.S. Department of Agriculture
mendapati madu lebah terbahagi kepada tujuh warna asas iaitu putih, kuning
cair, kuning pekat/jingga, oren kecoklatan, coklat dan hitam. Namun, warna madu
lebah bukanlah petunjuk yang tepat bagi menguji gred madu lebah kerana ia
dipengaruhi oleh jenis dan ciri sesuatu bunga yang mempunyai kandungan mineral
dan komponen-komponen organik tertentu di dalamnya.
Banyak kajian yang dibuat untuk mencari rahsia khasiat madu
lebah. Antaranya Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pemasaran
Pertanian Persekutuan (FAMA) membuat 20 kajian terhadap Madu Tualang. Hasil kajian
tersebut, mendapati ia memberi kesan positif kepada tubuh manusia. Antara
kelebihannya, termasuk berupaya melewatkan menopaus dalam kalangan wanita
berusia, merawat penyakit diabetes, menguatkan tulang dan meningkatkan hormon
di dalam tubuh wanita.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tetaplah kamu
dengan dua penyembuhan iaitu madu dan al-Quran.” (Riwayat Ibn Majah)
Kandungan madu terdiri daripada air, gula (fruktosa,
glukosa, sukrosa, maltosa), vitamin (B1, B2, B5, B6, C), mineral (kalsium,
natrium, fosforos, besi, magnesium dan mangan), serbuk dan enzim berupa
diastase. Kandungan penting enzim diastase dan invertase pada madu sangat
berguna untuk mengurai pati, protein dan glukosa. Mineral-mineral penting
seperti natrium, kalsium, magnesium, tembaga, besi, kalium dan fosforus yang
tersusun dalam madu juga mendekati kadar yang ada dalam darah manusia
Jadi, madu bertindak sebagai bahan makanan yang bernilai
tinggi sebagai makanan penjaga kesihatan serta sebagai ubat kepada pelbagai
penyakit. Madu mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding gula biasa kerana
ia tidak mengganggu selaput dinding sistem penghadaman, mudah dan cepat
diasimilasikan oleh badan, membekalkan tenaga yang diperlukan dengan cepat,
membantu memulihkan tenaga ahli sukan yang keletihan dengan cepat, melawaskan
pembuangan air besar, boleh menenangkan badan dan akal fikiran dan lain-lain
lagi.
Secara umumnya, madu boleh dimanfaatkan sebagai makanan
kesihatan semula jadi, meningkatkan stamina tubuh, sumber vitamin yang baik,
antibakteria, antikulat, merawat kulit, merawat batuk, mengatasi kejang otot,
merawat melecur, memulihkan kelelahan, mencerdaskan minda, berfungsi baik bagi
mereka yang menghadapi masalah penghadaman gula, mengatasi insomnia dan
mengatasi anak-anak kencing malam.
Kesedaran mengenai madu kini telah meluas dalam kalangan
masyarakat, meskipun khasiat madu belum diketahui sepenuhnya. Jadi, para
ilmuwan dituntut agar terus menjalankan kajian mendalam mengenai khasiat madu
dan mampu menggunakannya dalam cakupan yang lebih luas. Keajaiban madu telah
diungkapkan dalam al-Quran dan hadis secara indah 14 abad yang lalu. Ilmu
pengetahuan dalam al-Quran melangkaui zaman dan tempat sehinggalah hari kiamat.
Banyak lagi rahsia-rahsia al-Quran yang perlu kita gali agar keyakinan kita
bertambah mantap dan menjadikan kita sentiasa berada di jalan yang benar
# Sumber : Majalah Solusi Isu 6
SILA KLIK ==> MADU TUALANG TULEN UNTUK DIJUAL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan