
JOHOR BAHARU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan
Ibrahim bersedia mempertimbang untuk menjadi Presiden Persatuan Bola sepak
Malaysia (FAM) sekiranya mendapat permintaan daripada peminat bola sepak tanah
air. Namun buat masa ini, beliau mahu memberi tumpuan membantu Presiden
Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) yang baharu, Datuk Ismail Karim dalam
membangunkan bola sepak negeri.
Menurut Tunku Ismail, tindakannya meletak jawatan sebagai
Presiden PBNJ sebelum ini sebenarnya adalah untuk menunjukkan kepada seluruh
negara bahawa beliau ikhlas memajukan bola sepak negeri ini tanpa perlu menjadi
presiden persatuan itu. Tunku Ismail turut menafikan peletakan jawatannya
sebagai Presiden PBNJ pada 12 Julai lalu adalah sebagai langkah awal mahu
menjadi Presiden FAM.
Bercakap pada pertemuan dengan penyokong pasukan Johor Darul
Takzim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, Tunku Ismail menegaskan
beliau tidak berminat mengambil alih jawatan tertinggi itu daripada Tunku
Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebaliknya mahu menumpukan tugas sebagai Penaung
Diraja PBNJ.
“Baru-baru ini ada pihak yang mengatakan yang saya letak
jawatan sebab ada angan-angan mahu jadi Presiden FAM. Dah banyak kali saya
cakap, saya tidak mahu jadi Presiden FAM,” kata Tunku Ismail sambil mendedahkan
ada pihak di kalangan anggota FAM yang memujuknya mengambil alih jawatan itu.
Menurut beliau, pelantikan sebagai Penaung Diraja PBNJ adalah atas cadangan dan
perkenan ayahandanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
“Sebelum ini Almarhum
Sultan Iskandar adalah Penaung Diraja dan kemudian diambil alih Sultan Ibrahim.
“Namun, sejak saya tidak lagi menjadi Presiden PBNJ, maka Tuanku (Sultan
Ibrahim) merasakan lebih baik sekiranya saya yang menjadi Penaung Diraja kerana
saya mempunyai pengetahuan dalam bola sepak,” katanya. Tunku Ismail berkata,
buat masa ini beliau ingin menumpukan kepada pembangunan bola sepak negeri ini
seperti yang sudah dirancang termasuk pembinaan stadium bola sepak baharu di
Nusajaya dan sebuah akademi bola sepak di Kulai Jaya.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata, penyerang import JDT,
Jorge Pereyra Diaz tidak akan beraksi pada perlawanan suku akhir Piala AFC
menentang South China pada 25 Ogos ini. Diaz, 25, bagaimanapun akan kembali
menyertai JDT pada November depan bagi saingan Liga Malaysia musim depan. Tunku
Mahkota Johor itu berkata, Diaz kini beraksi bersama kelab Atletico
Independiente di Liga Primera Argentina secara pinjaman dan kekosongannya akan
digantikan pemain import JDT II dari Argentina, Leandro Sebastian Velazquez.
Dalam perkembangan lain, PBNJ kini sedang cuba mendapatkan
penyerang kelab Vancouver Whitecaps FC, Sebastian Fernandez yang beraksi dalam
Liga Bola Sepak Utama (MLS) untuk digandingkan bersama Diaz. Fernandez, 25,
adalah pemain kelahiran Uruguay, dirancang untuk menggantikan Luciano Figueroa
yang akan bersara dan bakal berguru dengan Mario Gomez sebagai penolong
jurulatih. Selain itu, Patricio Rodriguez, yang sudah pulang ke Argentina untuk
mendapat rawatan lanjut, bakal dilepaskan ke kelab lain sebaik pulih daripada
kecederaan.
# Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan