SHAH ALAM - Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menjalankan
siasatan dan tidak bertindak di atas arahan mana-mana pihak, tegas Ketua
Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan PRDM yang memanggil
pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk
memberi keterangan selain merampas beberapa dokumen dan peralatan
elektronik milik badan bebas rasuah itu.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa pihak polis hanya menjalankan
tugas dan tidak sama sekali bertindak di atas apa jua bentuk tekanan
atau arahan dari mana-mana pihak.
“Kami jelas dalam hala tuju siasatannya ke atas kes di mana dokumen
rasmi kerajaan dan perbankan yang dibocorkan, telah dimanipulasi oleh
pihak-pihak tertentu untuk mengganggu kestabilan negara,” katanya
menerusi kenyataan media hari ini.
Mengulas mengenai siasatan yang sedang berlangsung, Khalid berkata,
hasil siasatan itu akan dikemukakan kepada peguam negara untuk arahan
lanjut.
“Umum harus faham bahawa setiap agensi kerajaan mempunyai tugas dan
tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan sesuatu siasatan. Namun ia
tetap selari dengan tujuan asal iaitu untuk mencari kebenaran.
“Atas dasar ini, PDRM tidak sesekali mengganggu siasatan atau
mencampuri tugas dan tanggungjawab SPRM atau bertindak dalam apa juga
cara yang boleh menjejaskan hubungan kerja antara agensi-agensi yang
terbabit,” katanya lagi.
Penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
termasuk Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Tan Kang Sai
akan menjejaskan siasatan badan tersebut terhadap SRC International Sdn
Bhd.
Ini kerana menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Percegahan) SPRM, Datuk
Mustafar Ali, , peralatan pegawai-pegawai bertugas telah dirampas oleh
pihak berkuasa.
Khalid dalam pada itu mengingatkan semua pihak supaya tidak
mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belahkan perpaduan di
negara ini.
“Berilah ruang dan peluang kepada agensi-agensi menjalankan tugas
mereka tanpa sebarang campur tangan dari mana-mana pihak yang mempunyai
kepentingan tersendiri,” katanya lagi
# Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan