Halaman

Sokerspot

Isnin, 17 Ogos 2015

Tu dia!!!! Derma RM2.6 bilion datang dari Arab Saudi


Sumbangan derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak datang dari Arab Saudi, kata seorang ketua Umno bahagian.

Ketua Umno Bahagian Kuantan Wan Adnan Wan Mamat dipetik sebagai berkata dalam satu laporan Sinar Harian, wang itu adalah satu bentuk penghargaan kepada Malaysia kerana "memperjuangkan Islam" dan melawan kumpulan militan Negara Islam Syria dan Iraq (Isis).

"Ia satu penghargaan kepada Malaysia kerana memperjuangkan Islam dan mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," Wan Adnan dipetik sebagai berkata.

Laporan itu menyatakan dana itu juga sebagai menghargai usaha Malaysia bagi memerangi Isis. Wan Adnan mengesahkan Najib berkata demikian kepada 146 pemimpin Umno bahagian pada mesyuarat Rabu lepas.

"Bukan sahaja Malaysia yang menerima sumbangan dari Arab Saudi, 2 atau 3 negara lagi juga menerima sumbangan itu termasuk masyarakat Islam di Filipina dan (Selatan) Thailand."

Wan Adnan berkata demikian ketika berucap pada perasmian mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuantan, semalam.

Beliau berkata, Najib sudah menjelaskan dana yang dipindahkan ke akaun peribadinya kerana sumbangan dari Arab Saudi itu dibuat kepada Najib dan bukan kepada parti.

Beliau juga berkata, semua pemimpin Umno bahagian berpuas hati dengan penjelasan itu, sambil menambah mereka tidak mahu perkara itu terus berlarutan.

Najib dikritik berhubung derma yang ditermanya sebanyak RM2.6 bilion daripada kedua-dua belah pihak sama ada pembangkang mahupun dalam parti sendiri, terutamanya timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat daripada Kabinet akhir bulan lalu.

Perdana menteri baru-baru ini mendakwa beliau sudah dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah membabitkan penyaluran dana berjumlah AS$700 juta atau RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Najib turut mengulangi sumbangan yang diterimanya adalah bagi pihak Umno kerana beliau adalah presiden Umno, dan bukan untuk kegunaan peribadinya.

Agensi anti-rasuah SPRM mengumumkan wang itu bukan daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi sebaliknya datang daripada penderma dari Timur Tengah.

Tuduhan sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun Najib pertama kali didedahkan dalam satu laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai lalu, yang turut menyiarkan dokumen daripada pasukan penyiasat Malaysia.

WSJ berkata sumber dana itu tidak diketahui, tetapi disalurkan melalui anak syarikat 1MDB dalam beberapa peringkat, jumlah terbesar - AS$681,000,000 - disalurkan ke dalam akaun Najib pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun itu.

Beberapa ahli Kabinet Najib sebelum ini berkata, adalah tidak menjadi kesalahan wang berkenaan disalurkan ke dalam akaun peribadinya kerana beliau mempunyai hak menjadi pemegang amanah bagi Umno.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata beliau dan bendahari parti itu mengetahui kewujudan RM2.6 bilion, lapor The Star Online.

Portal itu melaporkan beliau sebagai berkata perkara itu sudah "berulang kali diperjelaskan".

"Kami sudah berkali-kali menjelaskan isu ini. Sebagai setiausaha agung, saya sedar tentang perkara itu dan begitu juga bendahari parti, "beliau dipetik sebagai berkata dalam ucapannya ketika merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Setiawangsa.

# Sumber

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan