Halaman

Sokerspot

Ahad, 6 Disember 2015

Belasungkawa: Tunku Abdul Jalil putera dekat rakyat



Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akibat kanser.

Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik dan putera kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, yang mengumumkan berita kemangkatan itu, berkata jenazah almarhum akan diiring ke Istana Besar malam ini dan ditempatkan di Bilik Khas Istana Besar.

"Istiadat siram jenazah dan kafan akan dilakukan kira-kira 7 pagi esok dan seterusnya jenazah almarhum akan disemayam di Bilik Singgahsana Istana Besar," katanya pada sidang media di Bukit Timbalan di Johor Bahru.



Katanya orang ramai diberi peluang memberi penghormatan terakhir pada pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi Ahad di Bilik Singgahsana, Istana Besar.

Abdul Rahim berkata penghormatan untuk orang kenamaan pula akan bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, sebelum jenazah disembahyangkan dan dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah Johor Bahru selepas waktu Zohor esok.


Beliau berkata jenazah Almarhum akan dibawa menggunakan pedati yang akan ditarik oleh Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Istana Besar terus ke makam tersebut sepanjang tiga kilometer.

"Turut mengiringi jenazah ialah Sultan Ibrahim serta anakanda-anakandanya yang lain," kata beliau.

Tubuh yayasan kanser


Abdul Rahim berkata almarhum akan disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Jan 2010, atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini.

Diputerakan pada 5 Julai 1990, almarhum disahkan menghidapi kanser hati tahap empat sejak Disember tahun lepas dan pernah menjalani pemindahan hati di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China sebelum ini.


Bagaimanapun, penyakit almarhum dilaporkan kembali menyerang sejak awal tahun ini.

Sepanjang menghidap kanser, almarhum kerap mengunjungi pesakit-pesakit di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk beramah mesra dan bertanyakan khabar.

Susulan itu, ayahandanya, Sultan Ibrahim turut menubuhkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor tahun ini untuk membantu pesakit kanser di negara ini.

Bangunkan sukan perahu layar


Selain itu, Abdul Rahim berkata majlis tahlil akan diadakan selama tiga hari berturut-turut mulai esok di Masjid Sultan Abu Bakar.

"Kesemua bendera di negeri Johor akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula esok. Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari untuk kerabat diraja dan tiga hari untuk orang awam," kata beliau.

Menurut Abdul Rahim, di atas keranda almarhum akan diletakkan bendera peribadi, topi polis dan pedang baginda memandangkan Tunku Abdul Jalil pernah ditauliahkan sebagai inspektor polis pada 2011.

Almarhum merupakan kerabat diraja Johor pertama yang berkhidmat dalam pasukan polis selepas menamatkan kursus latihan kepolisan selama sembilan bulan.

Selain itu, almarhum, selaku pengerusi syarikat kapal layar Innovatige Sdn Bhd yang menganjurkan perlumbaan Piala Monsun, turut memainkan peranan penting dalam membangunkan sukan itu.

Melalui program Liga Layar Malaysia dan program Belia Belayar pada 2013 yang diperkenalkan baginda, turut memberi peluang kepada beribu-ribu belia yang tidak berkemampuan tentang pelayaran dan memperoleh pengalaman dalam sukan kapal layar.

Atas sumbangan almarhum terhadap pembangunan sukan kapal layar, baginda pernah menerima Anugerah Pembangunan Presiden 2014 daripada Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) tahun lepas.

# Sumber: Bernama

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan