Halaman

Sokerspot

Sabtu, 12 Disember 2015

TMJ bimbang tentang pendidikan dan kepincangan politik


Dipetik dari laman rasmi facebook Johor Southern Tiger, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor menyatakan kebimbangan beliau berkenaan pendidikan dan kepincangan politik.

Baginda menyatakan seperti yang berikut :

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi kerisauan saya bersama rakyat Johor yang saya kasihi sekalian. Saya amat risau berkenaan beberapa perkara yang sedang berlaku di negara ini; perkara yang tidak boleh kita buat tidak endah. Kita mesti ingat bahawa persiapan adalah kunci kejayaan".

Untuk mengelakkan masalah pada kemudian hari, kita mestilah membuat persediaan. Seperti saya selalu berpesan, kejahilan adalah punca berlakunya huru-hara. Saya amat risau dengan tahap pendidikan yang semakin membimbangkan di negara ini, dan mentaliti yang dibentuk daripadanya.

Pendidikan tidak boleh dikompromi demi tujuan dan kepentingan politik. Kepada rakyat Johor sekalian, terutama sekali kepada anak-anak muda, saya menyeru supaya anda rebutlah apa jua peluang untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan, kerana ilmu adalah kuasa, dan merupakan senjata paling ampuh untuk menjadikan Johor negeri yang lebih maju.

Saya dengan seikhlas hati menyeru supaya anda jadikan pendidikan sebagai keutamaan, dan saya berjanji akan berusaha bersama kerajaan negeri supaya pendidikan diberikan perhatian penting yang selayaknya, demi masa depan Johor; kerana akan tiba masanya anda semua perlu menentukan masa depan dan apa yang terbaik untuk diri anda dan negeri Johor.

Saya tidak dapat menafikan bahawa saya berasa risau dengan ketidakstabilan politik yang melanda kini. Dengan kepincangan politik yang berlarutan di negara ini, apa yang boleh mengubah nasib kita bukanlah dengan pemberontakan atau demonstrasi, tetapi ianya terletak pada pendidikan. Apabila diri dilengkapi ilmu dan pendidikan yang baik, kita akan lebih bersedia dan mempunyai pengetahuan untuk menentukan hala tuju negara kita.

Saya berdoa yang kita mempunyai wakil rakyat dan menteri-menteri yang ikhlas dalam meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, dan bukannya mengutamakan akaun bank peribadi mahupun projek yang dilobi. Terdapat juga ahli politik yang umpama lalang ditiup angin, tanpa pendirian dan rasa tanggungjawab, serta mengutamakan populariti seperti selebriti. Sebagai ahli politik, anda perlu turun padang dan mendengar suara dan keluhan rakyat; rakyat yang meletakkan anda di kedudukan selesa anda sekarang.

Saya juga berdoa supaya suatu hari nanti, tiadalah mereka yang korup dan bersifat perkauman di kalangan kita. Ingatlah bahawa Johor berkembang maju seperti yang kita lihat pada hari ini adalah hasil kerja keras dan keharmonian semua kaum, seluruh Bangsa Johor.

Saya tahu, terdapat pihak yang tidak mahu saya dan keluarga saya bersuara. Apa yang mereka tidak faham adalah teguran kami bukanlah hendak menyerang peribadi. Kita hanyalah bersuara demi kepentingan rakyat, kita tidak meraih sebarang keuntungan daripadanya.

Oleh itu, sekali lagi saya ingin menegaskan kepada seluruh Bangsa Johor; pendidikan dan mentaliti positif anda adalah senjata paling ampuh untuk menentukan yang terbaik demi masa depan kita

# Sumber: JST fb

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan