Halaman

Sokerspot

Jumaat, 8 Januari 2016

Guru jentik kemaluan murid dengan getah

PETALING JAYA: Dua orang murid tahun enam mengalami trauma dan tekanan emosi setiap kali terserempak dengan guru disiplin kerana didakwa pernah didera oleh guru tersebut.

Mereka dikatakan didera oleh guru itu dengan diarah menanggalkan seluar lalu menjentik alat sulit mereka dengan menggunakan getah beberapa kali kerana kesalahan disyaki mencuri penutup nat tayar kereta guru berkenaan, lapor Sinar Harian.

Menurut bapa salah seorang murid berkenaan, Ramlan Razak, 51, kejadian berlaku pada 12 November tahun lalu dan tindakan itu turut diperlakukan di hadapan murid perempuan dan beberapa murid lelaki.

“Lebih teruk, anak saya dipaksa mengaku bersalah dan dipaksa membuat laporan bertulis terhadap kesalahan yang tidak dilakukannya,” katanya.

Ramlan juga kesal apabila pihak sekolah tidak mengambil sebarang tindakan susulan, malah menyarankan mereka memindahkan anaknya ke sekolah lain.

“Saya bukan mahu jawapan seperti itu tetapi mahu guru terbabit bertanggungjawab atas apa dilakukan terhadap anak saya.” katanya.

Dia juga khuatir kejadian tersebut mengganggu emosi anaknya yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Sementara itu, penjaga seorang lagi mangsa, Maimunah Harun, 52, berkata, cucunya turut mengalami nasib sama didera secara fizikal dan mental oleh guru terbabit.

“Disebabkan perkara ini tiada penyelesaian, pada 1 Januari lalu saya dan Ramlan nekad mengambil keputusan buat laporan polis di Balai Polis Melang,” kata Maimunah.

Selain itu, kedua-dua murid yang sama juga didakwa dihalau keluar dari kelas ketika guru disiplin itu mengajar subjek Matematik pada hari pertama persekolahan.

Ia menambahkan kerisauan ibu bapa dan penjaga yang turut mempersoal bukti menunjukkan kedua-dua murid ini mencuri penutup nat tayar kereta guru itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Pilah, Superintendan Luqman Abdul Rahman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Sekysen 323 Kanun Keseksaan.

“Guru terbabit boleh didakwa atas kesalahan mencederakan, namun disebabkan tidak parah, lazimnya suspek tidak ditangkap.

“Selepas siasatan selesai, kes akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Sumber : freemalaysiatoday

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan