Halaman

Sokerspot

Isnin, 20 Jun 2016

Mufti Perlis sekali lagi pertahankan terawikh 8 rakaat

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sekali lagi mempertahankan langkah pihak berkuasa agama negeri itu membenarkan lapan rakaat bagi solat sunat tarawih berjemaah sepanjang Ramadan di semua masjid negeri itu.

Ia berikutan dakwaan yang jemaah di sebuah masjid di Perlis memulaukan solat tarawih kerana tidak setuju imam yang baru dilantik melakukan lapan rakaat dan bukan 20 rakaat sepertimana dilakukan di negeri lain.

“Jika seseorang imam ditukar bukan kaitan dengan jumlah rakaat tarawih tetapi berkaitan disiplin dan moral yang tidak perlu didedahkan kepada awam.

“Jika ada kaitan SPRM ia akan diserahkan kepada SPRM, demikianlah seterusnya tanpa perlu didedahkan,” kata Asri dalam coretan Facebook, merujuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Asri berkata pihaknya tiada kuasa memaksa orang ramai melakukan sejumlah rakaat tertentu dalam solat tarawih, sebaliknya terpulang kepada imam dan jemaah menentukannya.

“Maka imam itu diminta oleh Mufti untuk ikut permintaan jamaah. Malangnya, ternyata tidak ramai yang bersolat 20 rakaat. Pihak Jabatan Mufti tiada kuasa memaksa orang ramai bersolat 20 rakaat. Memadai kadar kemampuan setiap orang. Ia hanya solat sunat,” katanya.

Asri turut mengutuk mereka yang mendakwa ramai umat Islam tidak setuju dengan solat tarawih lapan rakaat, sambil melabelkan mereka “Ahbash”, iaitu sejenih aliran yang dikatakan melampau.

“Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah pegangan rasmi di Perlis. Fatwa rasmi negeri mengharamkan Ahbash dan akan diwartakan sebagai undang-undang.

“Ini kerana pengaruh ajaran ini menjadikan penganutnya sering berbohong dan membuat berita palsu,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa agama di Perak mengarahkan masjid di negeri itu menyeragamkan jumlah rakaat tarawih sebanyak 20.

Arahan melalui titah Sultan Perak itu turut mewajibkan masjid menyediakan imam dan bilal bagi mengerjakan solat tarawih 20 rakaat, tetapi terpulang kepada jemaah sama ada mereka mahu melakukan kurang daripada itu.

Sumber : fmt

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan