Halaman

Sokerspot

Sabtu, 11 Julai 2015

Ranking skuad bola sepak negara akan naik, tetapi bukan dalam tempoh terdekat


PUTRAJAYA - Ranking skuad bola sepak negara akan naik ke kedudukan lebih baik, tetapi bukan dalam tempoh terdekat, sebaliknya hanya apabila program pembangunan pemain muda sekarang membuahkan hasil kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin

Khairy, yang semakin terbuka apabila mengulas mengenai prestasi atau pencapaian skuad negara, berkata ranking Harimau Malaya tidak mungkin mampu melonjak secara mendadak dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang kerana potensi pemain ketika ini berada di takuk yang sama.

Beliau meminta penyokong bola sepak tempatan agar bersabar selama beberapa tahun akan datang untuk membolehkan pemain-pemain sedia ada bersara dan kemudian digantikan dengan pemain-pemain lebih muda.

“Kita memerlukan produk-produk muda daripada pasukan Harimau Muda dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) untuk lima dan sepuluh tahun akan datang sebelum kita melihat ranking pasukan Malaysia kembali naik,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan pasukan negara yang jatuh ke tangga 168 berbanding 162 setelah mengumpul 117 mata dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kelmarin.

Malaysia menduduki anak tangga kelapan dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Filipina mengungguli kedudukan terbaik dalam rantau Asia Tenggara iaitu di ranking ke-124, diikuti Thailand (140), Vietnam (143), Singapura (150), Myanmar (162), Indonesia (164) dan Timor Leste (165).

Khairy berkata, beliau telah menjangka perkara tersebut apatah lagi tiada kemenangan besar yang diperoleh skuad negara sejak sebulan lalu.

“Ini bukan perkara yang mengejutkan dan saya juga telah menyebutnya banyak kali bahawa barangkali untuk lima ke 10 tahun akan datang kita tidak dapat memperbaiki ranking kita dengan begitu mendadak sekali sebab potensi pemain yang ada pada hari ini adalah tidak berapa tinggi,” ujarnya.


# Sumber

Ads

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan