
Kota Kinabalu: Kegagalan penyerang berstatus bintang El
Hadji Diouf hadir di sesi latihan sejak 9 Julai lalu membingungkan pihak
pengurusan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA).
Perkara itu dimaklumkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif SAFA
Datuk Seri TC Goh yang kesal dengan disiplin bekas penyerang Liverpool dan
Senegal itu.
“Saya tidak tahu apa masalah dia. Apa yang saya tahu, kami
masih membayar gajinya.
“Jadi saya berharap Diouf dapat terus bermain untuk Sabah,”
katanya yang juga pengurus pasukan, semalam.
Arena Metro difahamkan, sikap ditunjukkan kapten Sabah
Rhinos itu sejak akhir-akhir ini mencetuskan reaksi kurang senang pihak
pengurusan SAFA.
“Diouf masih mempunyai baki kontrak sehingga hujung musim
2015 dan dia sepatutnya menghadiri seisi latihan.
“Tindakannya menghilangkan diri begitu saja tanpa
menghubungi pihak pengurusan, sangat tidak profesional,” katanya.
Difahamkan, Diouf sepatutnya menghadiri latihan 9 Julai
lalu, namun gagal berbuat demikian sejak bercuti dua hari sebelum itu.
“Tindakan disiplin tetap akan dikenakan berikutan Diouf
masih mempunyai baki kontrak sehingga Disember.
“Selagi belum tamat kontrak, dia tidak boleh bermain dengan
mana-mana pasukan lain,” katanya.
Menurut Goh, sekiranya Diouf berminat mewakili pasukan lain
atau pasukan lain mahukan khidmatnya, mereka perlu mengikut prosedur ditetapkan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Desas-desus mengenai perpindahan Diouf mula timbul pada Mei
lalu apabila dia menyaksikan perlawanan persahabatan Johor DT menentang FELDA
United atas jemputan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, Goh menafikan perkara itu dan menegaskan Diouf
akan terus bersama SAFA sehingga penghujung musim 2015 bagi membantu skuad
Badak kembali ke Liga Super tahun depan.
Mengulas pertemuan menentang KL SPA Putrajaya FC di Kuala
Lumpur Jumaat ini, beliau berkata pihaknya akan melantik kapten baru.
“Kami tidak berdepan masalah dengan pemain lain kerana
mereka masih menjalani latihan seperti biasa.
“Saya memberi kebebasan kepada jurulatih Mike Mulvey untuk
menentukan pemain yang akan menggalas tugas kapten nanti,” katanya
# Sumber
SILA KLIK ==> MADU TUALANG TULEN UNTUK DIJUAL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan