Halaman

Sokerspot

Ahad, 9 Ogos 2015

FAM perlu adil : Presiden KAFA

 

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berlaku adil berikutan keputusan bayaran tunggakan gaji RM636,000 kepada bekas jurulatihnya, Steve Darby, baru-baru ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa menyatakan, biarpun rayuan akan dikemukakan oleh pihaknya dalam masa terdekat ini, namun secara peribadi beliau dukacita apabila FAM memutuskan KAFA membuat bayaran tunggakan gaji tersebut.

“Dalam kes Steve Darby, sampai ketika ini kita masih belum menamatkan kontraknya. Kita tengok dia tak pamer prestasi baik sebagai jurulatih, jadi kita beri dia kerja lain (pengarah teknikal), sebab dalam kontrak tak sebut dia diambil sebagai jurulatih sebaliknya sebagai pegawai pasukan.

“Tapi dia menolak (terima jawatan itu) dan terus tinggalkan Kelantan. Ini bermaksud dia gagal hadir unutk bekerja, kita nak berunding pun tak boleh. Malah dia menghilangkan diri empat hingga enam bulan tanpa kebenaran, itu tidak pula jadi kesalahan besar.

“Tiba-tiba kita pula dipaksa bayar kesemua gajinya. Kalau semua orang boleh buat perangai macam itu, tak adillah kepada persatuan. Macam mana kita hendak bayar RM636,000 kepada orang tak buat kerja. Harap FAM faham sendirilah,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, semalam.

Jawatankuasa Status FAM 28 Julai yang lalu telah

mengarahkan Kafa membayar tunggakan gaji Darby dalam tempoh 14 hari bermula tarikh surat dikeluarkan FAM.

Annuar juga meminta FAM tidak menjadi pihak berkuasa yang hanya menjatuhkan hukuman sebaliknya mahu pendekatan baharu dilakukan demi melindungi ahli gabungannya.

“Jangan buat kontrak untuk lindungi jurulatih atau pemain sahaja sebab yang nak kena keluar duit adalah kelab, kecuali kelab diberi hak untuk buat draf (kontrak) sendiri tapi kita pula tak dibenarkan, sebaliknya kena guna pakai kontrak dibuat FAM.

“Ia (kontrak) mesti lindungi kedua-dua pihak dan penaksiran jangan senget sebelah. Contoh bila jurulatih gagal, majikan ada hak tamatkan kontrak. Kalau tak boleh, bagaimana pula Mohd Azraai Khor Abdullah (bekas jurulatih Kelantan) boleh tamatkan sendiri khidmatnya.

“Bukan ke dia sepatutnya bayar kita (Kafa). Harap benda macam ini kena kaji lebih mendalam. Setiap jurulatih kita ambil walaupun ada kontrak dua hingga tiga tahun, kalau tak tunjuk prestasi bagus, dia boleh diberi notis ditamatkan. Kita buat demikian (tamatkan kontrak) untuk memajukan pasukan bola sepak,” katanya

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan