Halaman

Sokerspot

Khamis, 13 Ogos 2015

Pahang berpesta gol, JDT kekal di tahta liga


Pahang perlukan lebih daripada kemenangan untuk merampas takhta Liga Super walaupun anak buah Zainal Abidin Hassan berkenduri besar ke atas Kelantan di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Masih kekal di tangga kedua, skuad Tok Gajah mempamerkan aksi dramatik dalam mencatat kemenangan meyakinkan, manakala The Red Warriors yang pernah gah suatu ketika dulu, terus terperosok di bahagian bawah liga.

Bagaimanapun, kemenangan itu sekadar memastikan mereka kekal memberi tekanan terhadap pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga mengutip tiga mata penuh - walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Lions XII.

Menurut Zainal, pemain Pahang masih belum mendapat rentak permainan yang sepatutnya kerana berada di bawah tekanan untuk memenangi malam tadi.

Tekanan itu dianggap lebih besar kerana mereka tewas kepada Lions XII sebelum ini.

"Bagaimanapun pemain bekerja keras dan saya hargai kerana bijak mengambil peluang. Tetapi pada masa sama, berlaku kecuaian sehingga memberi peluang mudah kepada Kelantan.

"Keadaan ini perlu diperbaiki untuk saingan seterusnya," katanya.

Kad merah dikeluarkan

‎Pada perlawanan ke-19 itu Pahang dilihat banyak mengatur taktikal di bahagian sayap dan memperolehi dua gol awal pada minit ketujuh dan kelapan.

Gol pertama dijaringkan R Surendran yang menyudahkan hantaran R Gopinathan‎ selepas percubaan Matias Conti awalnya terkena tiang gol.

Seminit kemudian, Surendran membuat hantaran cantik disambut tandukan padu Dickson Nwakaeme menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Khairul Fahmi Che Mat.

Bagaimanapun The Red Warriors (TRW) merapatkan jurang melalui gol pertama jaringan Norfarhan Mohamad pada minit ke-11 sebelum Matias Conti menanduk gol ketiga Pahang hasil sepakan penjuru sebelum tamat separuh masa pertama.

Babak separuh masa kedua pula menyaksikan skuad Tok Gajah meneruskan kenduri apabila Surendran ‎sekali lagi membuat hantaran lintang disudahi tandukan rakan sepasukan Zesh Rehman pada minit ke-53.

Pemain Kelantan ternyata tidak mudah menyerah apabila Norfarhan membuktikan kelicikannya dengan menanduk masuk bola hantaran jarak jauh.

Bagaimanapun jentera Zahasmi Ismail terpaksa bertarung dengan 10 pemain selepas Khairul Izuan Rosli dikenakan kad merah.

Tetapi tuah memihak TRW yang dihadiahkan sepakan penalti apabila Austin Amutu dikasari sebaik permainan memasuki minit masa tambahan.

Norfarhan meletakkan diri sebagai penjaring hatrik perlawanan dan cuba merapatkan jurang gol melalui sepakan penalti itu, namun ‎Pahang menambah gol kelima hasil rembatan Azamuddin Akil seminit sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil.

# Sumber

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan