Halaman

Sokerspot

Isnin, 7 Disember 2015

Kedah dan Selangor sahkan tiket ke akhir Piala Malaysia


Pasukan Kedah dan Selangor mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir kedua, sebentar tadi.

Kemuncak saingan piala berprestij itu akan menyaksikan pertemuan antara pasukan naungan dua menteri besar iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi skuad Hijau Kuning dan Mohamed Azmin Ali bagi Selangor, seolah mengulang pertemuan pada musim 2008.

Pada aksi di Stadium Darul Aman, Kedah mendahului Felda United dengan jaringan 2-1 sekali gus mara dengan agregat 4-3.

Walaupun dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan lawan, skuad Helang Merah kembali garang di hadapan 30, 000 penyokong mereka.

Permainan seimbang daripada awal masa ditunjukkan kedua-dua pasukan dengan corak permainan pantas‎ untuk menguasai bola.

Kedah mendominasi serangan di sebelah kanan padang menggunakan sepenuhnya pemain harapan mereka, Badrol Bahktiar.

Bagaimanapun, skuad The Fighters melenyapkan sorakan penyokong tuan rumah melalui gol Ahmad Shamin Yahya pada minit ke-40.

Namun, Badrol tampil membantu pasukannya dengan membuat hantaran silang yang membuahkan gol penyamaan yang disudahkan pemain import Chidi Edeh empat minit berselang.

Menjelang separuh masa kedua, anak buah Irfan Bakti Abu Salim terus diasak jentera serangan Kedah yang lebih menguasai permainan.

Malah, ibarat jatuh ditimpa tangga' Felda United menerima malang berganda pada babak masa kedua itu.

Minit ke-51, Kedah melangkah ke depan dengan gol hasil sepakan bebas Sandro Da Silva meletakkan kedudukan 2-1.

Lebih menyakitkan buat Felda United, apabila penyerang mereka Indra Putra Mahyuddin‎ diarahkan keluar padang selepas menerima dua kad kuning.

Ketiadaan Indra Putra bagaimanapun gagal dimanfaatkan Helang Merah untuk menambah jaringan sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Selangor 2, Pahang 0


Sementara itu, di Stadium Shah Alam menyaksikan tuan rumah menundukkan juara bertahan, Pahang dengan keputusan 2-0.

The Red Giants mendahului skuad Tok Gajah seawal minit ke-11 melalui ayam tambatan mereka, Guilherme de Paula.

Sementara Nazmi Faiz melengkapkan agregat 2-0 buat Selangor di minit ke-54 sekali gus melangkah ke perlawanan akhir yang bakal berlangsung 12 Disember depan.


Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan