Halaman

Sokerspot

Khamis, 7 Januari 2016

50 Tips Dalam Membentuk Keluarga Bahagia

 

Berikut adalah 50 Tips Dalam Membentuk Keluarga Bahagia :

 1.       Berniat serta berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin mampu untuk menjadi suami yang cemerlang. Kebanyakkan suami terlupa tentang perkara ini.

2.       Bersyukur kerana telah mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan hidup terbaik yang telah Tuhan tentukan. KetentuanNya merupakan yang terbaik.


3.       Suami mithali jadi kebanggaan isteri. Jadikan diri anda membentuk sikap positif serta istimewa. Cuba Tanya kepada diri sendiri apakah sifat atau amalan yang boleh jadi kebanggaan isteri anda.

4.       Suami mithali akan sentiasa menyimpan rahsia isteri. Terdapat suami dengan secara sengaja ataupun tidak telah menceritakan akan keburukan isteri kepada orang lain. Ini mesti dihentikan.

5.       Pulang setiap hari dengan senyuman dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan pasti merasa bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila tiba di rumah.

6.       Pastikan anda punya masa untuk berbicara dengan isteri setiap hari. Semua isteri akan merasa bahagia apabila dapat berbual bersama suami. Berapa ketikakah yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

7.       Sentiasa hubungi isteri melalui telefon ataupun menghantar SMS sekadar untuk menyatakan bahawa anda sayangkan atau merindui isteri anda. Isteri anda pasti akan berasa seronok dan bahagia apabila menerima panggilan ataupun mesej tersebut.

8.       Hiburkan hati isteri anda seperti bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mampu untuk mengubati hati isteri dan akan mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

9.       Jadikan amalan untuk makan bersama setiap hari. Nasihat menasihati dan berbual mesra ketika makan. Amalan ini mampu untuk menarik hidayat Tuhan dan menguatkan lagi hubungan suami isteri. Elakan dari berbual perkara yang melalaikan ketika makan.

10.   Sekali-sekala ajak isteri mandi bersama. Mandi bersama sambil bergurau senda adalah sunnah yang dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

11.   Hulurkan tangan membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Ini adalah sunnah yang mampu meringankan beban isteri, mengeratkan lagi kasih sayang serta membahagiakan pasangan anda.

12.   Suami wajar belajar menjadi pengikut setia. Patuhi pandangan dan cadangan isteri yang betul. Elakkan membangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan hikmah.

13.   Pastikan penampilan diri anda sihat, ceria, anggun, kemas, bersih serta wangi. Ramai suami ingin isteri yang mengancam, tetapi mereka telah abaikan penampilan diri mereka sendiri. Tidak adil kan?

14.   Mendidik isteri dengan memberikan nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan amalan dan tindakan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakkan cakap tak serupa bikin.

15.   Beri nafkah kepada isteri berdasarkan keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami yang mengabaikan nafkah disebabkan isteri bekerja. Terdapat juga suami yang kedekut dan berkira. Ini akan menyebabkan isteri menderita dan rumahtangga terancam.

16.   Jadi penawar hati kepada isteri. Ambil berat akan kemahuan dan keperluannya serta peka kepada situasi dan emosi isteri. Isteri yang bahagia mampu membentuk keluarga yang sejahtera

17.   Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan pastikan juga keluarga patuh kepada semua perintah Tuhan.

18.   Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan pada ketika dalam perjalanan pergi atau pulang dari tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Kebanyakkan suami membazir masa dengan mendiamkan diri ketika berada dalam kenderaan.

19.   Mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin dijadikan amalan. Amalan mesyuarat keluarga dapat menarik hidayat Tuhan, mampu mengeratkan lagi hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

20.   Muliakan keluarga isteri seperti memuliakan keluarga sendiri. Terdapat juga suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada pula segelintir suami yang memusuhi keluarga isteri.

21.   Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

22.   Jadikan diri anda suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Sentiasalah maafkan isteri pada setiap malam sebelum tidur agar rumahtangga bertambah bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

23.   Menegur kesilapan isteri dengan berhemah dan hikmah serta kasih sayang. Isteri merajuk bukan kerana ditegur, tetapi cara teguran yang kasar. Apabila suami kasar, isteriakan  jadi takut, hiba, bingung dan memberontak.

24.   Jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai model. Hidupkan amalan sunnah di dalam rumahtangga. Sentiasa sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

25.   Dahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib suami dalam memberi khidmat. Terdapat juga suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakkan kesilapan ini.

26.   Perintah isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, hubungi melalui telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang serta wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Sentiasa buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

27.   Cintai isteri dengan sepenuh hati. Cintai isteri tanpa syarat, bertambah cinta mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara serta berteraskan iman dan takwa.

28.   Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

29.   Tunjukkan keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Terdapat juga suami tidak mengambil kisah hal keluarga mereka. Cuba tanya apa lagi keperluan tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

30.   Tunjukkan kematangan yang tinggi. Orang yang matang akan tenang, sabar, bijaksana, waras, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

31.   Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja maka rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan maka peramah juga dengan isteri. Berdisiplin di pejabat maka berdisiplin juga di rumah. Sabar dengan orang maka bersabar juga dengan isteri. Serupa di luar dan di dalam rumah.

32.   Muliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Terdapat juga lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Isteri akan kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat mana-mana wanita termasuklah pembantu rumah.

33.   Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad SAW amat pemaaf, pemalu, peka, endah serta mudah menangis. Sifat wanita yang terdapat pada lelaki mampu untuk menaikkan martabat lelaki dan akan lebih disayangi oleh isteri.

34.   Punya kemahiran dalam menguruskan keluarga. Peka dengan karenah dan masalah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

35.   Baiki diri secara berterusan. meningkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang sunat taubat, beristighfar, memaafkan dan minta maaf, bersahabat dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan serta tindakan.

36.   Menjadi model atau contoh yang terbaik untuk keluarga. Doa dan sentiasa berusaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan oleh ahli keluarga.

37.   Menjadi motivator dan pendorong yang berkesan untuk keluarga. Sentiasa memberikan galakan dan belaian. Elakkan mengkritik, memarahi ataupun menghina keluarga. Berfikiran positif dan sentiasa bersangka baik terhadap keluarga.

38.   Tambah dan tingkatkan ilmu berkaitan agama. Biasanya, suamilah yang mendidik keluarga berkaitan agama. Timbalah ilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

39.   Sentiasa tegakkan kebenaran. Tegas dalam menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elakkan untuk mengenepikan kebenaran disebabkan ingin menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

40.   Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Terlalu tegas akan menyebabkan orang memberontak, lembut sangat anda akan dipijak orang.

41.   Melatih diri untuk menghargai dan memuji isteri. Terdapat suami yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak pandai memuji. Belaian mampu untuk merawat emosi dan fizikal isteri serta membuatkan isteri terasa disayangi. Carilah peluang untuk sentiasa memuji.

42.   Mencari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Termasuklah senyuman, bersikap lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

43.   Fahami bahawa isteri ingin selalu di sisi suami. Apabila berjauhansekali-sekala, hubungi isteri melalui telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat untuk mengubat rindu.

44.   Bentuk kerjasama yang mantap bersama isteri. Tunjukkan kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyakkan berdoa.

45.   Nilaikan diri anda daripada kaca mata isteri. Buang sifat, sikap dan amalan yang isteri tidak suka. Sentiasa berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

46.   Jika suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri akan bahagia. Imbas kembali cara anda melayan isteri sebelum berkahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

47.   Wujudkan undang-undang dalam rumahtangga. Apabila suami sedang marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri sedang marah, suami mesti senyap. Ini dapat mengelakkan berlakunya pertengkaran. Orang tidak boleh bertengkar sendirian.

48.   Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuhi perintah Tuhan, sentiasa maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

49.   Pimpinlah isteri dengan kasih sayang dan nasihat. Selalu berpesan dan nasihat sekali-sekala. Waktu paling baik member nasihat adalah semasa rehat, waktu minum petang, waktu bersiar-siar dan pada ketika hendak tidur.

50.   Uruskan stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan riaadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang sunat taubat dan maafkan semua orang.


Sumber oleh Dr Fadzilah Kamsah

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan