Halaman

Sokerspot

Sabtu, 9 Januari 2016

Kadar GST akan dinaikkan?

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa GST telah menyelamatkan ekonomi negara dengan menampung hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroleum.

Apakah PM sedang memberikan bayangan bahawa kadar GST akan dinaikkan , atau GST bakal dilebarkan untuk meliputi lebih banyak jumlah barangan dan perkhidmatan termasuklah RON95 dan bayaran tol bagi terus menampung hasil negara memandangkan harga minyak sedunia dijangka mengambil masa yang lama untuk pulih?

Perkara ini tidak mustahil. Atas alasan ‘menyelamatkan negara’, kini GST digelar sebagai penyelamat. Atas alasan ‘menyelamatkan negara’ juga, kadar GST boleh dinaikkan.

Dan jika kadar GST dinaikkan, ini bukan kali pertama PM dan kerajaan BN membelakangkan kesusahan rakyat.

Sepatutnya, PM patut melaksanakan nasihatnya kepada kabinet agar mereka bijak dan berhemah dalam membelanjakan peruntukan kerajaan pada dirinya dahulu.

Tunjukkan kerajaan menjimatkan belanja dengan mengurangkan anggota kabinet dan gaji sendiri. Kalau boleh dapat derma RM2.6 bilion, apa salahnya berhenti mengambil gaji selama setahun? Laksanakan konsep ketelusan dalam perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri untuk menunjukkan diri seorang kakitangan kerajaan yang hemah berbelanja.

Tunjukkan Jabatan Perdana Menteri dapat melakukan penjimatan dengan menggunakan veteran-veteran kakitangan awam dan para pensara daripada kakitangan kontrak bergaji tinggi di Jabatan Perdana Menteri.

PM dan kerajaan BN tidak boleh teruskan harapkan rakyat yang berkorban dengan pengurangan pendapatan boleh belanja manakala Ketua Audit Negara terus melaporkan keborosan dan ketirisan dalam pengurusan kewangan kerajaan.

Bagi rakyat, GST ini bermaksud rakyat yang bayar dan berkorban. Susah sangatkah melihat PM dan para ahli kabinetnya turut berkorban dan menanggung kesusahan bersama rakyat?

Catatan oleh : Tuan Ibrahim Tuan Man

Sumber : freemalaysiatoday

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan