Halaman

Sokerspot

Sabtu, 25 Jun 2016

MT UMNO sebulat suara pecat Muhyiddin, Mukhriz

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini digantung sebagai Timbalan Presiden UMNO, dipecat daripada parti hari ini bersama bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kerana melakukan pelanggaran disiplin.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keahliannya sehingga Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Keputusan itu dibuat oleh anggota MT secara sebulat suara pada mesyuarat hari ini, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di sini hari ini.

"MT ambil keputusan sebulat suara memecat Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz atas pelanggaran disiplin, lebih-lebih lagi berada atas pentas bersama pemimpin pembangkang serta serang pimpinan dan parti. Itu satu kesalahan besar," katanya.

Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda Khairy Jamaludin.

Najib berkata bagi Shafie, penggantungan itu dibuat kerana Jawatankuasa Pengurusan dan MT masih belum menerima laporan lengkap daripada Jawatankuasa Disiplin.

Muhyiddin dan Shafie sebelum ini digugurkan daripada Kabinet pada Julai 2015 manakala Muhkriz melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada Februari lepas.

Ketiga-tiga mereka lantang mengkritik dan mempersoal kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dalam isu dana politik RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan memutuskan untuk menghentikan bantuan kewangan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana berkuat kuasa serta-merta susulan tindakan Pengerusi Kehormatnya Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan yayasan itu sebagai platform untuk menjatuhkan kerajaan.

"Oleh itu, tidak ada sebab dan tidak wajar sama sekali kerajaan meneruskan apa juga sumbangan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana," katanya.

Sumber : bernama

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan