Halaman

Sokerspot

Ahad, 3 Januari 2016

Badrul masih banyak masa

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menasihatkan pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap agar tidak terlalu tertekan mengenai 'kontroversi' status rekod kebangsaan 100 meter dicatatnya yang kini masih menjadi tanda tanya.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Low Beng Choo, berkata ini kerana pelari kelahiran Melaka yang kini menuntut di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor itu masih muda dan mempunyai banyak masa untuk memperbaiki rekodnya itu.

"Kami ucapkan syabas kepada Badrul dan dia harus berazam untuk berlari lebih pantas selepas ini kerana masih banyak peluang menantinya, dia baru berusia 18 tahun.

"Ini bukanlah satu perkara yang membimbangkan dan menjejaskannya kerana kalau sudah mampu melakukan kepantasan 10.29 saat (s) acara 100m di Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN (ASG), Bandar Sri Begawan, Brunei, dia masih ada banyak masa lagi," kata Beng Choo ketika dihubungi, semalam.

Badrul pada November lalu menggemparkan olahraga tanah air apabila merakamkan kepantasan 10.29s, iaitu 00.1s lebih pantas daripada catatan dilakukan oleh Watson Nyambek pada 13 Julai 1998 di ibu negara yang bertahan selama 17 tahun.

Bagaimanapun, baru-baru ini media melaporkan rekod 100m itu dikatakan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Ia termasuk alat pengukur angin yang tidak berada di garisan 50 meter (m) selain tiada bukti gambar garisan penamat di mana kedua-dua aspek itu wajib ada untuk mendapat pengiktirafan IAAF.

Episod hampir sama turut melanda Badrul, Oktober tahun lalu apabila kejayaannya memecahkan rekod acara 200m milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang berusia 47 tahun pada Kejohanan Olahraga Terbuka Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak diiktiraf gara-gara bantuan angin berkelajuan 2.2m/s (meter per saat).

Badrul mencatatkan 20.88s, mengatasi rekod 20.92s milik Jegathesan pada 15 Oktober 1968 di Sukan Olimpik Mexico.

Sumber : bharian

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan