Halaman

Sokerspot

Isnin, 4 Januari 2016

Morten Frost lakukan perubahan latihan beregu negara

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost telah melakukan sedikit perubahan terhadap sesi latihan bahagian beregu negara dalam persiapan hadapi kelayakan Piala Thomas.

Sesi latihan di Bukit Kiara pada Isnin menyaksikan Frost terbabit dalam sesi latihan bahagian beregu.

Perubahan yang dilakukannya adalah bagi menilai keserasian pemain andai mereka digandingkan dalam acara berbeza.

Manakala proses pemilihan dijangka akan dilakukan selewat-lewatnya penghujung bulan ini.

"Saya hanya membuat perubahan kecil kerana kita sedang memasuki fasa yang penting dalam Thomas dan Uber Cup.

Ada pemain ketika ini yang memikul dua tanggungjawab iaitu bagi acara beregu dan beregu campuran jadi kita perlu membuat beberapa perubahan," katanya.

Dengan Malaysia dijangka tidak berdepan masalah untuk layak ke saingan Piala Thomas, apa yang jadi kerisauan adalah kemampuan skuad wanita.

Hakikat ini diakui sendiri Frost yang menyedari peluang negara untuk layak ke saingan Piala Uber berdepan ranjau yang besar.

"Sudah tentu fokus utama ketika ini adalah melayakkan diri. Kita harap mampu mara ke Finals pada Mei.

Ketika ini ada banyak negara asia yang bagus jadi agak sukar untuk mara tapi kami harap kami mampu melakukannya. Pada saya kita miliki pemain perseorangan wanita yang bagus dan mereka semakin mempamerkan kemajuan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria yakin barisan kejurulatihan sedia ada sudah memadai sehingga temasya Sukan Olimpik Rio.

Sebelum ini wujud keraguan mengenai jumlah jurulatih dalam skuad kebangsaan yang disifatkan tidak mencukupi setelah beberapa jurulatih sedia ada mencari 'angin baru' di tempat lain.

Walaubagaimanapun, masalah tersebut selesai setelah perlantikan Cheah Soon Kit (beregu) dan Indra Wijaya (perseorangan).

"Bila kita ada kelemahan di beregu lelaki kami membawa masuk Soon Kit dan di perseorangan lelaki kami membawa masuk Indra agar Hendrawan dan Seu Bock boleh fokus kepada Datuk Lee Chong Wei.

Ketika ini barisan jurulatih cukup memadai," katanya.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Artikel Ini Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan